Hari-hari Terakhir Ayah



Sungguh cepat masa berlalu. Pada umur baru menjangkau 56 tahun, ayah yang saya hormat dan sayang pergi buat selama-lamaya meninggalkan kami di dunia ini. Namun kita terpaksa menerimanya dengan redha kerana hidup dan matinya seseorang mahluk di dunia ini adalah ketentuan Allah swt.
Seperti biasa, perginya seseorang insan dari dunia ini akan disertakan dengan sebab yang ditentukan Allah swt. Pemergian ayah saya adalah berpunca dari jangkitan kuman atau pun dalam bahasa perubatan dinamakan SEPSIS. Jangkitan tersebut bermula pada bahagian atas dada sebelah kiri berbentuk seperti bisul yang bersaiz sebesar 
tapak tangan.
Jangkamasa saya mengetahui ayah sakit juga terlalu singkat, bermula daripada mendapat panggilan telefon dari ibu pada 17 Mei 2010 menyatakan ayah akan menjalani pembedahan (untuk membuat bisul tersebut) sehingga ayah meninggal pada Subuh 22 Mei 2010, cuma 5 hari.
Sebelum ayah masuk ke hospital untuk pembedahan, ayah telah masuk hospital seminggu sebelum itu kerana kandungan gula di dalam darah yang agak tinggi. Tetapi apabila saya menelefon ayah dan bertanyakan keadaan ayah sama ada selesa atau pun tidak ketika di hospital ayah menyatakan sudah sakit memanglah tidak selesa! Begitulah ayah yang tidak pernah menyatakan dia sakit dan sentiasa tegas di hadapan anak-anaknya. Sikap itulah yang membuat kami sentiasa hormat terhadap ayah.
Tetapi ketika saya menghubungi ayah melalui telefon sebelum pembedahan (ketika ini saya di pejabat, beberapa minit setelah ibu memaklumkan bahawa ayah akan menjalani pembedahan), ayah menyatakan dia sakit di bahagian dada kiri sehingga tangan tidak boleh di angkat. Suara ayah amat sayu. Ini adalah kali pertama dalam hidup saya, ayah mengadu bahawa dia sakit. Hati saya berasa sungguh sedih dan perasaan saya meronta-ronta untuk balik bertemu
ayah.
Setelah cuti saya diluluskan, 18 Mei 2010 saya bergerak balik ke kampung halaman. Kami sekeluarga tiba di kampung halaman (Batu Pahat) pada jam 1 pagi, saya meninggalkan anak-anak dan isteri di rumah dan terus ke Hospital Baru Pahat untuk berjumpa dengan ayah. Di hospital, ayah berada di wad kelas 2(bilik berdua) sambil ditemani ibu. Ayah telah selesai menjalani pembedahan. Keadaan ayah agak lemah dan penat.
Bermula dari saat itu kami bergilir-gilir untuk menemani ayah di hospital. Walaupun keadaan ayah yang agak lemah, ayah kerap menyuruh saya balik untuk mandi, makan dan berehat. Ayah juga sering bertanya sama ada saya sudah tidur, makan, atau pun belum. Ayah tidak berubah, sentiasa mengambil berat hal anak-anaknya walaupun dalam keadaan yang amat tidak sihat.
Pada 19 Mei 2010, setelah doktor pakar membuat pemeriksaan terhadap ayah, dia menyatakan bahawa cara ayah bernafas kelihatan agak sukar (sesak nafas). Dia juga memerlukan ayah dipindahkan ke wad biasa agar lebih dekat dengan meja jururawat supaya pemerhatian yang lebih kerap boleh dilakukan.
Ketika di wad biasa. walaupun dalam keadaan yang semakin lemah dan sukar untuk bernafas, ayah sempat berpesan kepada saya agar Hafiz (adik saya) mengambil roadtax kereta ibu di kedai insurans. Saya berasa amat sedih kerana dalam keadaan ayah yang lemah, ayah masih memikirkan kerja-kerja yang perlu diuruskan di rumah. Namun apa yang mampu saya lakukan hanya menjawab “ya” kepada ayah saya yang sentiasa bertanggungjawab dan menjaga keluarganya dengan sebaik mungkin.
Belum puas kami menjaga ayah yang sakit, sedangkan ayah menjaga kami dari kecil, 20 Mei 2010 ketika Hafiz menjaga ayah (saya sedang berada di rumah mertua-jarak 15 minit dari rumah) ibu telefon menyatakan ayah dipindahkan ke ICU! kerana keadaan pernafasan yang bertambah teruk. Saya terus ke hospital.
Tiba di hospital ayah telah berada di wad ICU. Jururawat yang bertugas tidak membenarkan kami masuk kerana rawatan sedang dilaksanakan. Selesai rawatan kami masuk melihat ayah. Ayah sudah tidak sedar kerana telah diberikan ubat untuk merehatkan diri dan menenangkan ayah dari rasa sakit. Sejak dari itu kami tidak lagi dapat berkomunikasi dengan ayah. Hanya bacaan ayat suci Al Quran dan doa sahaja dapat kami kirimkan dengan harapan agar ayah cepat sembuh.
Pelbagai wayar melilit badan ayah dan beberapa peralatan komputer digunakan untuk memerhatikan keadaan dan kesihatan ayah. Denyutan jantung, peratusan oksigen dalam darah, tekanan darah, serba serbi diperhatikan dengan bantuan komputer. Apakah fungsi peralatan dan maksud nombor yang tertera di monitor komputer? Semuanya saya tanya kepada jururawat yang bertugas.
Doktor yang bertugas juga menerangkan kepada kami bahawa kuman yang menjangkiti ayah telah merebak ke paru-paru dan mula memasuki aliran darah. Ayah juga mengalami beberapa kesan sampingan akibat jangkitan kuman tersebut seperti kesukaran bernafas, darah menjadi cair, mudah luka/berdarah dan pelbagai lagi. Setiap masalah yang sedang dialami ayah diterangkan oleh doktor, saya tanyakan kepada doktor apakah tindakan yang pihaknya sedang laksanakan untuk mengatasinya sehingga saya puas hati dengan jawapan yang diberikan.
Keadaan di wad ICU juga amat berdisplin. Kami tidak dibenarkan berada di sisi ayah kecuali waktu melawat. Pada waktu melawat pun, hanya 2 orang sahaja dibenarkan melawat pada satu-satu masa (bergilir-gilir).
Esoknya, hari kedua ayah di ICU, saya berasa agak gembira dan percaya ayah akan sembuh. Mengapa? Kerana bacaan yang dipaparkan di monitor mengenai keadaan ayah semuanya adalah agak stabil berbanding hari pertama ayah di ICU dimana ianya agak merunsingkan saya. Saya balik dari hospital dengan harapan yang tinggi. Ayah pasti sembuh!
Waktu maghrib kami telah memohon bantuan daripada jemaah di surau kampung halaman untuk membuat tahlil dan memohon kepada Allah swt agar ayah cepat sembuh. Di surau saya berasa amat terharu kerana jemaah yang ada begitu khusuk dan bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah swt agar ayah cepat sembuh.
Namun apakan daya, ketentuah Allah mengatasi segala-galanya...
Subuh 22 Mei 2010 bersamaan 8 Jamadilakhir 1431 ibu mengejutkan kami di rumah kerana mendapat panggilan telefon dari hospital untuk segera ke wad ICU. Saya bangun dan terus ke hospital bersama isteri dan anak-anak. Tiba di wad ayah masih hidup TETAPI... dengan bantuan CPR dari doktor yang bertugas. Saya terus mengucapkan kalimah Allah di telinga ayah. Selang beberapa minit kemudian ibu sampai dan menggantikan tempat saya disisi ayah. Tepat jam 0635 kami dipohon oleh jururawat dan doktor yang bertugas untuk kami menunggu diluar agar mereka dapat menguruskan ayah yang sudah meninggalkan kami buat selama-lamanya...
Ucapan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada semua ahli keluarga, saudara mara, sahabat handai, jiran-jiran, petugas-petugas Jabatan Agama Islam, jururawat-jururawat, doktor-doktor, staf jabatan forensik dan semua yang terlibat dalam menjaga ayah saya ketika sakit di hospital dan menguruskan jenazah serta mereka mendoakan arwah ayah saya sehingga ke hari ini, semoga Allah dapat membalas budi tuan-tuan dan puan-puan yang tidak ternilai tingginya bagi saya.
Al-Fatihah untuk arwah ayah , Mohamed Hassan bin Surif...

0 comments:

Post a Comment