Gerai Diroboh Tanpa Notis

Macam menumpang di negara sendiri.
KUALA LUMPUR 19 Nov. – Seorang peniaga di Desa Pandan di sini terkejut apabila mendapati gerai tempat dia mencari rezeki sejak 15 tahun lalu dirobohkan tanpa sebarang notis baru-baru ini.
Nor Anida Zamin, 42, berkata, ketika dia datang untuk berniaga pada pukul 11 pagi hari berkenaan, dia mendapati gerainya sudah dirobohkan.
“Jiran-jiran memaklumkan bahawa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah datang merobohkan gerainya pada pukul 9 pagi,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Ujarnya, tindakan yang dilakukan itu sangat sukar diterimanya kerana gerai itu adalah satu-satunya punca rezeki dia sekeluarga selama ini.
“Bayangkan, segala persiapan untuk berniaga sudah disediakan dan kini saya terpaksa menanggung kerugian yang banyak.
“Saya juga terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM20,000 kerana baru sahaja mengubah suai kedai,” katanya.
Dia juga mempertikaikan tindakan DBKL yang merobohkan gerainya itu tanpa notis sedangkan dia berada di situ setiap hari.
Nor Anida berkata, dia mempunyai lesen perniagaan yang sah dan sepatutnya dimaklumkan terlebih dahulu oleh pihak berkuasa jika gerainya mahu dirobohkan supaya mudah dia membuat persediaan.
Katanya, banyak lagi peniaga lain di kawasan itu yang tidak mempunyai lesen dan lebih teruk lagi, ramai juga peniaga asing di situ tetapi mereka tidak dikenakan tindakan.
Sementara itu, suaminya, Md. Isa Kasmuri, 45, pula berkata, setelah mendapati gerainya itu diroboh, dia bersama isterinya terus bertindak berjumpa DBKL.
Namun, katanya, alasan yang diberikan tidak boleh diterima iaitu kami diminta membina kembali gerai tersebut mengikut ukuran yang telah ditetapkan iaitu 200 kaki.
Ujarnya, gerainya hanya terlebih 12 kaki sahaja, daripada apa yang ditetapkan DBKL tetapi tindakan yang dikenakan ialah dirobohkan semua gerai.
“Mudah sahaja mereka menyuruh membina kembali gerai, di manakah kami hendak mencari semula modal untuk semua ini.
“Bukan mudah mendirikan semula gerai kerana ia akan memakan modal yang sangat besar, sedangkan kami baru sahaja mengalami kerugian teruk dengan tindakan DBKL ini,” katanya.

0 comments:

Post a Comment